23 Jun 2009 – Kursus Sistem Pengurusan Sekolah Kualiti MS ISO 9001:2008 Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran Sekolah Menengah Negeri Johor telah berjaya diadakan kepada semua warga SMK Benut pada hari ini di Bilik Mesyuarat SMK Benut.
Kursus ini telah disampaikan oleh Tuan Haji Abd Hamid Bin Buhairah (Guru Penolong Kanan Pentadbiran, SMK Seri Perhentian, Pontian).
Warga SMK Benut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Tuan Penceramah yang telah memberikan banyak input berkaitan kursus ini.
SMK Benut, Pontian adalah antara 115 buah sekolah rendah dan 105 buah sekolah menengah yang dipilih oleh Jabatan Pelajaran Negeri Johor untuk melaksanakan SPSKsebagai sekolah rintis tahun 2009 dengan fokus kepada Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran.Majlis penyampaian watikah pelaksanaan telah diadakan pada 28 APRIL 2009 di ADTEC Batu Pahat dan disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pelajaran Johor.
Setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah swt kerana dengan keizinan-Nya, warga SMK Benut dapat meneruskan perkhidmatan di sekolah ini bagi tahun 2009. Semoga pengalaman yang lepas dalam mengurus tanggungjawab yang diamanahkan dapat dijadikan panduan untuk mencapai kejayaan yang lebih gemilang pada tahun 2009.
Tahun 2009 pastinya tahun yang lebih mencabar bagi warga pendidik sekolah ini. Hal ini kerana kita mesti merealisasikan visi sekolah “SMK Gemilang 2009”. Walaupun kita sedar banyak aspek yang belum mencapai tahap gemilang, tetapi saya yakin jika warga SMK Benut boleh memberi 100% komitmen terhadap tugas masing-masing, visi tersebut pasti dapat direalisasikan. Oleh yang demikian ‘Merealisasikan Kegemilangan’ masih dipilih sebagai tema sekolah pada tahun 2009 bagi memastikan visi tersebut menjadi kenyataan.
Selain itu, kejayaan pastinya boleh dicapai jika ada ‘teamwork’ yang mantap dalam kalangan warga sekolah, lebih-lebih lagi dalam bidang ‘core business’ kita iaitu mengurus kurikulum khasnya pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Guru-guru harus sedar, kejayaan dalam bidang akademik adalah petunjuk kejayaan sesebuah sekolah itu cemerlang jika dapat menghasilkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Di samping itu, kita akan terus meningkatkan kecemerlangan dalam kokurikulum, pengurusan, sahsiah dan disiplin pelajar sebagaimana yang dinyatakan dalam misi sekolah ini.
Saya juga berharap, tugasan yang dirancang hendaknya bertepatan dengan kepakaran yang ada pada setiap guru dan kakitangan sekolah, agar tugas yang dipertanggungjawabkan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan sentiasa mematuhi ‘Prinsip Etika Kerja’ Kementerian Pelajaran Malaysia.